An article about #9BCAA and Ngai Yuen’s response to why there isn’t enough a category for best Malay Script in this year’s Boh Cameronian Arts Awards.
The following is taken from Gua.com.my . Click on title above to read it at the source.
Thank you @sultanmuzaffar & Gua.com.my !
—
Kembalinya Anugerah Kesenian BOH Cameronian edisi 9 cukup menggembirakan penggiat seni pentas tempatan. Setelah dua tahun direhatkan kerana kekurangan dana bagi menganjurkan majlis anugerah itu, Anugerah Kesenian BOH Cameronian edisi 2011 kembali lagi pada tahun ini dengan meneruskan tradisi meraikan dan mengiktiraf karya-karya pentas berkualiti.
Mengambil alih tugas di Kakiseni ialah Low Ngai Yuen, nama yang cukup dikenali menerusi program 3R satu ketika dahulu.
“Saya cukup gembira apabila majlis anugerah ini dapat menghimpunkan penggiat seni pentas seluruh negara pada satu malam penuh bermakna dan meraikannya bersama-sama. Kita memerlukan masa yang panjang untuk membina penjenamaan sesebuah majlis anugerah. Mungkin satu hari nanti, penggiat seni boleh menjual nama trofi yang mereka menangi untuk menyertai majlis anugerah lain di peringkat antarabangsa, siapa tahu kan?”
Namun begitu, terdapat beberapa pengumuman yang mahu dibuat oleh Yuen yang tidak dapat dilakukannya pada malam tersebut.
“Saya mahukan lebih lagi dan sentiasa berharap pihak korporat akan lebih banyak membantu untuk kepentingan dunia seni pentas tempatan. Kami dapat apa yang kami ada sekarang tetapi masih tidak mencukupi. Namun kami di Kakiseni tidak akan terus berhenti berusaha untuk mendapatkan apa yang kami mahu.” tambah Yuen lagi.
Mengulas lanjut ketiadaan kategori Skrip Asal Terbaik (Bahasa Melayu) pada majlis anugerah tahun ini, “Kategori skrip adalah kategori yang paling merunsingkan pada setiap tahun. Salah satu sebabnya adalah kriteria yang ditetapkan sangat tinggi bagi mengangkat mutu skrip karya tempatan ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Saya berpuas hati dengan kredibiliti juri yang terpilih untuk mengadili kategori tersebut.
“Saya merasakan jumlah skrip berbahasa Melayu tidak mencukupi. Adalah tidak adil untuk memilih yang terbaik daripada tujuh penyertaan. Kami tidak akan memaksa panel juri untuk memilih pemenang.”
Namun yang lebih utama baginya, adakah persekitaran seni pentas tempatan cukup kondusif bagi melahirkan skrip berbahasa Melayu yang berkualiti.
“Persoalan pokoknya adalah adakah kita menyediakan insentif atau pun peluang untuk penulis skrip meningkatkan taraf penulisan skrip Melayu di Malaysia? Tidak sama sekali. Lebih-lebih lagi bagi karya asli yang tidak pernah diketahui sebelum ini. Proses untuk menulis skrip itu juga satu proses yang merumitkan dan lebih merumitkan lagi apabila kurangnya insentif atau dana untuk penulis mencapai kualiti yang diinginkan. Adakah persekitaran kita cukup kondusif untuk melahirkan naskhah-naskhah skrip berbahasa Melayu yang berkualiti?
“Kami perlu menyuburkan lagi bidang penulisan skrip berbahasa Melayu ini dengan adanya sedikit dana daripada kerajaan untuk tahun ini dan tahun depan. Saya berharap mereka akan membuat pengumuman tersebut dalam majlis kita akan datang. Ia juga akan menggalakkan lagi penyediaan kandungan berbahasa Melayu dengan lebih besar lagi.” ujar Yuen mengakhiri bicara.
Pelbagai kempen telah dirancang menjelang majlis anugerah yang bakal berlangsung pada 29 April depan. Antaranya majlis anugerah teknikal pada 10 April ini dan pertemuan penggiat seni pentas dengan syarikat korporat untuk lebih memahami kesenian ini.
Penonton yang pernah menyaksikan pelbagai pementasan di sekitar Malaysia boleh mengundi pementasan kegemaran mereka (People Choice Awards) di http://awards.kakiseni.com.